Bacaan Al Quran

Rabu, 17 Februari 2010

pendidikkan yang kita lalui

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

PEMELIHARAAN KHAZANAH
WARISAN INTELEK

MADRASAH BANDAR DAMAI - 11

Pendidikkan Yang Kita Lalui

Sepintas lalu tentang pelan pengajian yang kita lalui, mengikut pemerhatian saya dan bukannya kajian mendalam.

Iman Islam dan Ihsan adalah tiga cabangan kehidupan berugama. Begitu juga ilmu yang membincangkannya, usuluddin, fekah dan tasawwuf. Ilmu sains dan teknologi datang kemudian. Sifat ilmu ini adalah nutral, maka cara dan falsafah pengajiannya mempengaruhi nilai moral ilmu ini, sains yang satu dipelajari dan diamalkan oleh komunis sepertimana ia dipelajari dan diamalkan oleh kapitalis, begitu juga Islamis.

Mempelajari sains tabi'e ini dihukumkan fardhu kifayah berdasarkan keperluan ummah dan tuntutan semasa. Orang Islam dituntut mempelajari ilmu ini selepas selesai dengan ilmu fardhu 'ain. Tuntutan berstatus fardhu itu cukup membayangkan bagaimana pentingnya ilmu ini kepada umat Islam, walaupun hanya sebahagian orang Islam yang kena mempelajarinya.  


Semua orang setuju bahawa untuk membina kekuatan ummah kita perlu kepada kedua-dua bidang ilmu agama dan dunia. Kuat ilmu ugama sahaja memungkin kita mengusai dunia tetapi tidak memaju dan memakmurkannya, sementara kuat dengan ilmu dunia juga memungkin kita menguasi dunia tetapi dalam masa yang sama menjadi bala bencana kepada dunia dan kemanusiaan. Sejarah telah membuktikan bahawa umat Islam telah pernah menguasai dunia dan menjadi pemimpin dunia kearah kesejahteraan dan mengujudkan kemakmuran. Maka tentunya ketika itu kita memiliki kedua-dua bidang ilmu ugama dan dunia yang seimbang.

Jika kita meneliti perjalanan ilmiah saintis Islam seperti Ibnu Sina dan al Khawarizmi contohnya kita dapati mereka melalui proses pembentukkan ilmiah yang sama dengan ulamak Islam yang lain seperti Imam Nawawi dan Rafi'e, diperingkat awalnya. Mula-mula menghafaz Quran kemudian hafal hadith, kemudian mendalami ilmu wahyu yang lain, fekah, tauhid, tafsir dan ilmu-ilmu alat, kemudian mendalami falsafah, matematik, fizik, kimia, perubatan dan ilmu sains tabi'e yang lain. Mereka juga mempelajari seni dan sastera.

Saintis Islam yang agong seperti dua tokoh ini sebenarnya adalah juga ahli ugama, mempunyai karya didalam bidang ilmu tradisi Islam seperti fekah dan tasawwuf dan mereka juga dianggap wali Allah didalam bidang kerohanian, malah mereka juga ahli seni dan sastera. Cumanya mereka lebih menonjol dan dikenali didalam bidang sains. Dipihak yang lain ulamak yang masyhur didalam ilmu fekah contohnya seperti dua tokoh yang disebutkan tadi sebenarnya juga mempelajari sains tabi'e seperti matematik, falsafah astronomi, fizik dan kimia, cuma mereka lebih cenderong dan menonjol dibidang mereka. Pengetahuan mereka didalam sains tabi'e juga tinggi.

Usaha mengkaji secara detil akan pelan pengajian Islam sejak zaman awal hingga zaman kejatuhan empayar Uthmaniah perlu dibuat. Untuk mengujudkan ilmuwan yang seimbang duniawai dan ukhrawi. Persoalannya adakah kita mempunyai pelan pengajian yang bercirikan pelan pengajian yang dilalui oleh ulamak dan saintis agong kita dulu.

Cerdik pandai atau ahli akedemik didalam masyarakat samaada ustaz atau saintis adalah pemimpin masyarakat secara tak langsung. Mereka yang mempengaruhi cara berfikir masyarakat. Jika kita lihat hasil sistem pendidikkan kebangsaan kita dapati seorang itu boleh menjadi samaada ustaz atau saintis. Tidak ujud seorang saintis yang tinggi ilmu-ilmu Islam, atau seorang ustaz yang berpengetahuan tinggi berkenaan sains. Kalau adapun dengan usaha luar daripada sistem pengajian itu.  Empat period untuk subjek pendidikan ugama didalam seminggu dikira tidak ujud dalam konteks keseimbangan kedua cabang ilmu ini. Jika kita menegur golongan ustaz agar mendalami sains maka lebih lagi kita kena tegur golongan saintis dan politik agar mendalami agama.

Dengan memerhatikan dua sukatan pelajaran, sukatan pelajaran sekolah rendah kebangsaan dan sekolah agama rendah seperti yang ditaja oleh JAIS kita rasakan kedua aliran ini seimbang. Tetapi bila pelajar memasuki sekolah menengah pekembangan pendidikkan Islam terbantut melainkan mereka yang menyertai sekolah menegah agama. Malangnya hanya segelintir yang terlibat dengannya. Selebihnya menyertai sekolah menengah kebangsaan. Seperti yang saya sebut tadi empat period seminggu disekolah menegah kebangsaan seperti tidak ujud. Individu keluaran dari sistem ini membuktikannya.

Selepas sekolah menengah segelintir yang menyambung ke universiti, ketika itu cuba kita tengok berapa jam seminggu diperuntukkan kepada pengajian agama. Kita dapati kedua aliran pengajian ini semakin tidak seimbang. Kita berjaya melahirkan saintis yang berjaya dan bergaya tetapi dengan membawa pengetahun agama darjah enam atau lebih sikit didalam dada mereka. Ilmu ugama setakat ini tidak cukup sangat untuk dibawa didalam kehidupan yang sebenar.

Pendidikkan kearah melahirkan saintis saya kira berjaya. Kita berjaya melahirkan saintis yang berkaliber dan boleh bersaing dengan saintis dunia. Sebaliknya jika kita melihat kepada pendidikkan Islam saya berasa kecewa. Pada tahun-tahan lapan puluhan lagi saya telah terbaca artikel disatu akhbar bahawa keluaran pelajar timur tengah tidak mampu menguasai teks tradisional ulamak silam atau digelar kitab kuning. Maknanya juga tidak mampu merujuk masaalah-masaalah agama dengan sewajarnya, maka bagaimana kualiti ilmiah mereka. Kalau dulu itu masaalahnya sekarang bagaimana? Kalau itu krisis pelajar timur tengah maka bagaimana pelajar pengajian Islam didalam negeri.

Walaupun mereka pulang dengan sekeping sijil majoriti besar mereka tidak mampu menjadi guru kepada masyarakat dengan berkesan, setakat menjadi guru sekolah dan penceramah yang membincangkan perkara-perkara umum. Keperluan masyarakat saya kira tidak terpenuh. Pengajian yang berkualiti menggunakan teks samaada arab atau melayu masih dikuasai oleh keluaran sistem pondok.

Saya belajar disekolah menengah tajaan JAIS, selepas itu saya menyambung belajar dipondok Madrasah al Latifiah, Kuak Luar, Pengkalan Hulu, Perak, dibawah bimbingan tuan guru haji Abdul Latif bin Abdul Rahman, sebilangan rakan saya menyambung pengajian di Mesir dan sebilangan lagi dalam negeri. Apa bila saya mula mengikuti kelas pengajian dipondok itu saya dapati pengetahun bahasa arab yang saya dapat disekolah sangat lemah, jauh untuk mampu memahami dengan baik teks subjek lain seperti fekah dan tauhid. Persoalan yang timbul disini bagaimana rakan-rakan saya yang kualiti bahasa arabnya lebih kurang saya mempelajari teks arab yang diajarkan oleh orang arab tanpa diterjemahkan sepatah pun kepada bahasa melayu? Apa yang mereka dapat faham darinya. Saya melangkah dipondok dengan rasa hina dan jahil, mempelajari bahasa arab dari peringkat paling asas, sedang mereka megah berada diuniversiti seolah-olah bahasa arab bukan masaalah. Ketika saya kurang mampu memahami teks fekah Fathul Qareeb mereka mempelajari teks al Mahalli sebagai teks pengajian mereka.

Saya sering menasihati pelajar yang bakal belajar diunivesiti didalam bidang pengajian Islam supaya selesaikan masaalah membaca dulu, "kalau engkau masuk universiti tidak pandai baca lulus univesiti pun tak pandai membaca". Dimana logiknya? Kerana di universiti tidak diajarkan bagaimana cara nak membaca, sama keadaannya kita tidak diajarkan kaedah asas matematik. Universiti tempat dimana ilmu peringkat tinggi diajarkan dan bahaskan, bukan tempat belajar membaca. Kalau membaca meraba-raba di universiti boleh dikira buta huruf.Mungkin anda faham sekarang kenapa ramai pelajar kita di timur tengah mengambil masa yang lama untuk lulus.  

Masaalahnya bukan universiti, universiti terutamanya al Azhar mempunyai piawaian ilmiah yang tinggi, tetapi kita menghantar pelajar yang tak pandai membaca arab ditempat pengajian yang seratus peratus menggunakan bahasa arab. Bandingannya kita menghantar pelajar yang meraba-raba baca Ingeris dan tidak cekap matematik ke Oxford belajar fizik nuklear. Boleh dapat ilmu ke. Kita tidak ada pilihan untuk cemerlang didalam pengajian Islam bahasa arab mesti diselesaikan dulu. Lepas itu barulah kita bincang bagaimana nak dapat ilmu lain.

Sekarang ini sekolah menengah ugama menjalankan sukatan pelajaran yang menyokong peperiksaan STAM. Setahu saya ia sukatan pelajaran sekolah menengah yang dibawah tadbiran universiti al Azhar. Teksnya seratus peratus didalam bahasa arab. Antara teks yang digunapakai adalah Syarah Ibnu Aqil untuk nahu dan al Iqna' untuk fekah yang telah dimudahkan penulisannya dan dipanggil kitab maudhui'e. Dipondok dua teks ini hanya layak dipelajari oleh pelajar yang telah khatam sekurang-kurangnya empat ke lima teks yang dibawahnya, dan telah belajar sekurang-kurangnya empat tahun. Mengenakan teks bahasa arab yang tinggi pada pelajar yang mentah bahasa arabnya saya kira bukan suatu yang bijak. Dalam hal ini bukan pelajar sahaja yang bermasaalah malah guru yang benar-benar mampu pun susah nak jumpa. Kita suruh mereka belajar dan mengajar mereka lakukan tetapi kualitinya bagaimana.

Kita kena fikirkan sukatan pelajaran yang mesra dengan pelajar kita, seperti menggunakan teks melayu pada sebahagian subjek untuk dua tiga tahun dan mencari jalan bagaimana nak membangunkan potensi bahasa arab mereka. Biarkan sukatan untuk orang arab dipelajari oleh orang arab. Lebih penting lagi guru perlu dipastikan benar mampu mengajarkan teks arab. Maknanya sijil sahaja tidak cukup, perlu disemak semula kemampun mereka. Jika tidak cukup kualiti perlu belajar lagi untuk menambahkan kemahiran mereka. Mungkin kembali mempelajari kaedah asas membaca. Masaalahnya saya dapati majoriti mereka yang telah ada sijil dan ada peluang kerja tidak minat atau malas untuk belajar lagi dan mengembangkan potensi ilmiah mereka, leka dengan mengajar dan berceramah atau tazkirah, sedang terlalu banyak yang mereka kena tahu. Kalau kerajaan ada buat kursus untuk pelajar yang bakal masuk universiti saya cadangkan buatlah kursus pemerkasaan ilmu untuk pelajar yang dan lulus universiti. Lulus memang lulus tapi isinya padan ke?

Di universiti pelajar lepasan sekolah yang benar-benar bijak sahaja boleh berjaya cemerlang. Mereka seperti orang yang melangkah dua tiga anak tangga dengan sekali langkah. Mereka ini jika melalui system pengajian pondok didalam dua tiga tahun akan lebih berkualiti tiga empat kali ganda. Perlu kita ingat peperiksaan bukan untuk menggagalkan, tapi untuk menilai. Kalau didalam setahun  itu kualiti pelajar rendah graf lulus periksa akan direndahkan, supaya ramai yang lulus dan ada yang cemerlang. Kalau ini keadaannya maka sijil tidak menunjukkan kualiti ilmu yang sebenar. Tapi kalau penilaian dengan boleh baca, faham dan boleh mengajarkan sesuatu teks maka ini tak boleh dibuat-buat, kerana ini adalah aktiviti ilmu yang sebenar.

Jika anda masuk kedalam komuniti pelajar di timur tengah anda akan dapati perbezaan diantara pelajar yang pernah belajar dipondok dan yang tidak. Keunggulan pelajar pondok sangat jelas, mereka bukan sahaja lebih tekun belajar malah menjadi rujukkan rakan-rakan pelajar. Ada yang saya jumpa berkata "mujur dulu duduk pondok dua tiga tahun". Pelajar yang sebegini dulu tidak ada kelas dikalangan pelajar pondok. Tapi diuniversiti cebisan ilmu pondok menjadi penyelamat mereka.

Kita terpaksa menyebutkan masaalah kemahiran membaca secara terbuka. Jika kita enggan dan masaalah ini tidak selesai kita akan terus mengulangi kesilapan kita didalam pengajian Islam untuk berpuluh tahun mendatang. Kita akan membazirkan berpuluh juta ringgit setahun dan lebih dari itu akan membazirkan tenaga-tenaga muda yang berpotensi dibangunkan sebagai ulamak. Dizaman moden ini mempertikaikan kemampuan membaca sesaorang semacam satu penghinaan tetapi terpaksa kita sebut demi kepentingan umum. Pepatah arab mengatakan "ilmu didalam dada bukan didalam kitab", tapi saya faham ilmu itu mulanya didalam kitab kemudian dipindahkan kedalam dada. Kalau kita tak pandai membaca tak mungkin dapat memindahkan ilmu itu kedalam dada kita. Bukankah Allah taala mengajar manusia dengan perantaraan pena. Kalau mengikut keadaan sekarang kita hanya mampu melahirkan penceramah bukan ulamak, membenarkan kata nabi sawm "zaman yang ramai penceramahnya sedikit ulamaknya". Kemampuan membaca yang rendah mungkin dipandang tinggi oleh orang awam yang jahil, tapi jika diukur dengan piawaian ilmiah ianya dikira buta huruf.

Menghafal alQuran. Keghairahan menghafal Quran bermula didalam masyarakat kita  kira-kira dua puluh lima tahun lalu. Sebelum itu tidak kedengaran aktiviti menghafalnya. Seorang dua sahaja orang kita yang menghafalnya. Sejak itu sekolah tahfiz tumbuh macam cendawan dan ramai ibu bapa yang menghantar anak mereka menyertainya.

Menghafal seluruh alQuran bukan fardhu 'ain. Namun fadhilatnya sangat besar sepertimana diterangkan didalam satu hadith bahawa seorang yang menghafal alQuran mensyufaatkan sepuluh ahli keluarganya masuk kedalam keluarga tanpa hisab. Ini motivasi yang sangat kuat untuk menarik hati orang Islam menghafal Quran atau menghantar anak mereka mengikuti program tahfiz Quran.

Ada rakan bertanyakan pendapat saya tentang menghafal Quran. Saya kata : hafal seawal usia yang mungkin. Maksudnya jika kamu ada anak libatkan dia dengan menghafal Quran seawal usia yang mungkin, dengan menyertakan dia ke tadika tahfiz atau kelas tahfiz sambilan atau memasukkan dia kesekolah tahfiz intensif diusia sembilan atau sepuluh tahun. Saya ada alasan untuk ini. Jika kita perhatikan perjalanan ilmiah ulamak agong kita dapati mereka mula menghafal Quran seawal usia tiga tahun, lepas itu menghafal hadith, lepas itu mendalami fekah, tauhid, ilmu alat dan ilmu-ilmu Islam tradisi yang lain, lepas itu mendalami sains tabi'e. Usia yang mentah sangat sesuai untuk menghafal dan kurang mampu untuk memahami.

Jika orang kata menghafal Quran itu susah dan teruk, saya tidak nafikan dari segi usaha. Hakikatnya tidak semua orang mampu menghafal Quran. Hanya mereka yang terpilih sahaja yang boleh. Walaubagaimanapun Quran sendiri menegaskan bahawa ia adalah teks yang mudah dihafal, lihatlah kata Allah taala yang maksudnya "dan demi sesungguhnya Kami permudahkan al Quran untuk diingati". Kalau Quran tidak diatas sifat ini tentu tidak ujud berjuta orang yang menghafalnya didalam satu-satu masa. Jadi jangan ragu untuk menghantar anak anda menghafal Quran. Jika tidak hafal seluruhnya empat lima juzpun tidak ada nilainya. Ada ulamak yang menasihatkan : hafallah Quran kerana Quran membentuk peribadi muslim. Hafal tak habis pun ada pengaruh pada keperibadian penghafalnya.

Disamping besar fadhilatnya saya nampak didalam pembinaan ilmiah kedudukkannya umpama tahap tadika. Maknanya ia sangat asas. Seorang hafiz perlu terus belajar mendalami dan mahir didalam bidang ilmu pengajian Islam yang lain sehingga bergelar 'alim dan boleh berperanan penting didalam masyarakat. Jika hanya lulus program tahfiz dia hanya layak mengajar Quran dan tajwid dan jadi imam tarawih sahaja. Didalam ibadat khusus dia tidak layak menjadi rujukkan, hinggakan menjadi imam pun dia tidak diutamakan, sebaliknya diutamakan orang yang mahir fekah sembahyang. Ramai para hafiz yang tidak sambung belajar lepas diiktiraf sebagai hafiz dan lulus ilmu qiraat.

Kemuncak daripada Quran adalah pelaksanaan peraturan-peraturan didalamnya, untuk itu kita perlu memahaminya, untuk itu perlu mendalami ilmu yang berkaitan dengannya, untuk itu perlu memahami bahasanya. Jauh beza diantara hafiz sekarang dengan hafiz pada zaman awal Islam, mereka itu memahami ugama seiring dengan membaca Quran.

Jika kita perhati kepada pusat tahfiz yang sedia berkhidmat kita dapati ianya beroperasi dengan membawa tiga bentuk program. Pertama program tahfiz intensif, hanya pengajian fardhu 'ain sahaja yang diajarkan. Keduanya program tahfiz yang dipadukan dengan sukatan pelajaran sekolah menegah agama. Ketiganya program tahfiz yang dipadukan dengan pengajian tinggi tahap diploma. Lulusan program pertama dan kedua akan terus belajar samaada didalam bidang pengajian Islam atau sains. Lulusan program yang kedua hanya akan menyambung belajar didalam bidang pengajian Islam. Ada yang memilih untuk bekerja, dengan peluang mereka untuk mengisi pasaran kerja sebagai ustaz. Malangnya dengan sijil diploma itu ilmu ugama dan bahasa yang mereka miliki masih sangat cetek. Bahayanya bila berada bersama masyarakat mereka dirujuk dengan perbagai masaalah fekah dan terpaksa bercakap tentangnya.

Dengan ujudnya trend baru ini alhamdulillah kita telah berjaya melangkah maju setapak kedepan. Kita telah menghasilkan golongan profesional dan ustaz yang hafiz. Tetapi kualiti bahasa arab dan ilmu tradisi yang lain masih ditahap lama kerana masih menggunakan program dan teknik yang sama dengan sekolah. Kita perlu fikirkan bagaimana untuk menyerapkan sistem pengajian pondok kedalam institusi pengajian tahfiz dan sains. Saya dapati ramai lulusan tahfiz yang turun ke pondok dua tiga tahun untuk mendalami bahasa dan ilmu Islam cara pondok sebelum melanjutkan pelajaran ke timur tengah. Saya sokong usaha ini dan dengan kuat mencadangkannya kepada yang lain. Malah saya sendiri bependapat bahawa pondok bukan hentian terakhir didalam perjalanan ilmiah, lepas pondok kena pergi universiti sepert al Azhar.

Membentuk seorang hafiz quran jauh lebih mudah dari membentuk seorang untuk yang memahami tafsir Quran atau pandai kitab. Anda hantar seorang anak anda menghafal Quran didalam tiga tahun dia boleh menjadi seorang hafiz dan boleh bergelar ustaz lalu disambut dan disanjung oleh masyarakat. Hantar seorang lagi untuk mempelajari kitab bila sampai tiga tahun anda akan rasa anda telah mensia-siakan umur anak anda dan duit anda. Kita perlu sekurang-kurangnya  lima tahun pengajian yang serius, enam hari seminggu, enam ke tujuh jam sehari, untuk mampu membaca kitab Fathul Mui'en apatah lagi tafsir Jalalain. Terlalu banyak yang perlu dikuasai sebelum sampai ketahap itu.

al Quran adalah mukjizat yang paling besar, kemuliaan dan tarikkannya sangat kuat. Semua orang sanggup membayar untuk belajar Quran dan menghafalnya. Hartawan yang budiman berlumba-lumba menyumbang untuk pembinaan dan penyelenggaraan pusat-pusat tahfiz malah ada yang membinanya secara peribadi. Malangnya mereka gagal merasakan kepentingan sistem yang paling berpotensi menyambung pembinaan ilmu para hafiz mereka untuk terus naik keperingkat yang lebih tinggi. Pondok seolah-olah bersendirian, bantuan yang diterima sangat kecil. Susah kita temui hartawan yag sanggup menghabiskan harta untuk membina atau menyokong pondok atau menaja pelajarnya keperingkat yang lebih tinggi. Seorang pendakwah masyhur tanah air ada berkata "baca Quran semua sokong, memahami Quran sedikit yang sokong, melaksanakan Quran ramai yang tentang.

Tadayyun manqus. Maknanya kehidupan berugama kurang. Pernah kedengaran dulu dari mulut seorang ulamak yang menjawat jawatan menteri. Beliau merujuk kepada segolongan elit muslim yang menekankan pendidikkan agama pada anak mereka dengan memasukkan mereka keinstitusi pengajian agama dan tahfiz yang tidak mengajarkan sukatan pelajaran kebangsaan, tidak ada subjek sains, matematik dan bahasa Ingeris. Mereka adalah golongan professional didalam berbagai bidang, ekonomi, kejuruteraan, perundangan, pentadbiran, perniagaan peniagaan dan lain yang mewah dari segi kewangan. Mereka dilihat sebagai melangkah kebelakang dengan mensia-siakan potensi anak mereka dengan tidak melibatkannya dengan ilmu akedemik yang mengarah kepada pembentukkan menjadi tenaga pakar didalam berbagai bidang sains dan teknologi yang boleh menjadi alat untuk membangunkan kekuatan ummah. Ringkasnya anak mereka yang bijak-bijak itu akan menjadi hafiz atau ustaz pada usia dua puluh lima tahun lalu bekeluarga. Potensi mereka terhenti setakat itu.

Pemikiran tadayyun manqus yang ada didalam kepala golongan elit ini adalah hasil dari sistem pendidikkan yang mereka lalui. Saki-baki sistem pendidikkan penjajah yang dibawa dari barat yang tentunya mengakibatkan fenomena tadayyun manqus ini.

Pendidikkan yang mereka lalui menghasilkan kekosongan didalam jiwa mereka. Mereka belajar berorientasikan dunia untuk habuan dunia, mereka hebat didalam bidang mereka tapi kosong jiwa, hidup dengan pengetahuan agama yang cetek. Apabila mendapat sedikit hidayah mereka dengan cepat merasakan apa yang mereka capai tidak berpadan dengan apa yang mereka tidak punyai, mereka memandang rakan yang memilih pendidikkan agama walaupun hidup didalam kedaan serba sederhana adalah lebih bertuah dari mereka. Mereka menghantar anak mereka kesekolah menghafal Quran dan pondok, malah kemewahan yang mereka ada mereka mampu menghantar anak belajar keluar negeri seperti Syiria, Sudan dan Afrika Selatan diusia tiga belas tahun. "Anak aku mesti menjadi hafiz atau imam atau ustaz yang alim, aku mampu menyara pelajarannya dan membantu kehidupanya dimasa depan. Jangan jadi seperti aku yang kaya harta miskin jiwa". Memang proses pembinaan ilmu sains tidak berjalan.

Jika kita lihat keadaan ini dari sudut peribadi kita boleh saja katakan tidak mengapa dia mampu itu hak dia. Tapi dari sudut kekuatan ummah kita telah mensia-siakan sebahagian besar potensi kita untuk maju bersaing dengan umat lain didunia ini, lebih-lebih lagi jika jumlah mereka yang terlibat dengan keadaan ini ramai.

Kita boleh andaikan tadayyun manqus ini berterusan, si anak akan berjaya menjadi hafiz, kemudian dimasa depan dia bekerja dan mendapat pendapatan sekitar seribu lima ratus ke dua ribu sebulan yang sekarang ini dikirakan sempit, lalu dia melihat rakannya seorang jurutera yang hidup dengan mewah, lalu dia berazam untuk menjadikan anaknya seorang jurutera, seterusnya si jurutera ini akan berasakan perasaan yang sama dengan datuknya lalu berazam menjadikan anaknya seorang hafiz. Begitulah seterusnya proses ini berterusan dari satu generasi ke satu generasi. Hasilnya tahap pendidikkan ummah berada ditakuk lama.

Menghadapi kemelut pendidikkan ini kerajaan dengan mudah menuding kepada pihak lain, daripada mengakui kesilapan dan membetulkannya. Yang menjadi mangsa adalah sekolah agama rakyat. Tapi mereka gagal menunjukkan sebuah sekolah agama rakyat yang tidak menjalankan sukatan pelajaran agama kebangsaan. Bila satu sistem itu gagal maka yang gagal adalah perancang dan pengarahnya.

Membina generasi ilmuwan yang seimbang. Keseimbangan ilmu dunia dan akhirat memang tak dapat tidak, untuk mengembalikan keagongan Islam, tapi kita tidak mungkin dapat menguasai kedua-duanya seperti ilmuwan agong kita dulu. Yang penting kita mempunyai kedua-duanya walaupun dengan nilai yang rendah. Jika kita mendalami bidang ugama kita mesti mempunyai tahap sederhana bidang dunia, dan jika kita mendalami bidang dunia kita mesti mempunyai tahap sederhana pada ilumu-ilmu agama.

Inilah ciri-ciri ahli ilmu zaman kegemilangan Islam yang membina tamaddun ilmu moden. Pada zaman mereka dua aliran ilmu ini berada didalam keadaan yang sangat harmoni, tidak ada cemuh mencemuh diantara ahli-ahli keduanya. Jika kita hendak mengembalikan zaman kegemilangan Islam maka terlebih dulu kita kena letakkan struktur ilmu-ilmu ini ketapaknya yang betul, kerana dengannyaa akan lahir ilmuan yang mampu membawa kita kepada kegemilangan dunia sepertimana pernah mereka lakukan dulu.

Tahap sederhana ilmu-ilmu akedemik. Untuk tahap sederhana ilmu dunia yang dimaksudkan ilmu sains tabi'e dengan mudah saya menerima tahap aliran sains SPM. Bahasa Ingeris, matematik tambahan, fizik, biologi dan kimia, saya kira cukup untuk kita jadikan pengetahuan yang boleh menjadi asas dan panduan kita memahami perkara berkenaan sains yang kita tidak tahu, dan jika seorang itu rajin membaca dia boleh mengembangkan pengetahuannya dengan sendiri.

Seorang ahli ugama atau ustaz perlu kepada tahap ini. Dengannya dia dapat memahami isu-isu yang berkenaan sains dengan baik dan akan lebih berkesan ketika berperanan sebagai pemimpin kerohanian didalam masyarakat. Al Quran sendiri penuh dengan penyataan berkenaan alam semesta yang hanya dapat difahami dengan kajian mendalam didalam bidang sains. Jika tidak, maka ilmu ugamanya kaku dan kelihatan tidak serasi dengan realiti kehidupan manusia dan aktiviti ilmiah dunia yang sentiasa bekembang.

Tahap sederhana ilmu-ilmu Islam.
Untuk tahap sederhana ilmu-ilmu Islam saya tidak dapat menerima sukatan pelajaran tahap STAM, dari segi sukatan dan proses pengajiannya. Alasannya mudah, secara ringkas lepasannya tidak menunjukkan tahap ilmiah yang dikehendaki dan tidak punya kemampuan untuk mengembangkan kualiti ilmiah mereka. Lebih jelas lagi ada beberapa kelemahannya yang saya kesan, tidak menghasilkan kualiti bahasa yang sederhana, teksnya seperti al Iqna' yang ditulis semula saya rasa kurang nilai kethiqahannya untuk dipegangi, subjek seperti mantiq, balaghah dan 'arud sepatutnya tidak dipelajari melainkan selepas kuat bahasa arab.

Untuk tahap ini saya memilih untuk menerima tahap sederhana ilmiah dipondok, iaitu "boleh baca kitab Fathul Qareeb". Tahap ini bermakna seorang itu boleh mengajarkan teks nahu Mutammimah Ajrumiah dan ke bawah, teks saraf al Kailani dan kebawah, mahir dengan lughah iaitu banyak perbendaharaan kata dan memahami gaya bahasa arab dengan baik, telah mempelajari tiga ke empat teks usuluddin, telah banyak mempelajari  hadith dan tafsir dan ilmu-ilmu alat yang lain.

Subjek fekah dipilih sebagai pengukur kerana fekah subjek yang luas bahasannya merangkumi empat aspek aktiviti manusia, ibadat-mu'amalah-munakahat-jenayah, berbanding subjek yang lain dan persoalannya adalah yang sentiasa bermain didalam masyarakat, keperluan kepadanya lebih dari subjek lain. Jika tinggi pengajian fekahnya maka serentak dengan itu subjek yang telah banyak dipelajari.

Dengan kualiti begini seorang itu dengan mudah untuk mengembangkan kualiti ilmiahnya. Inilah tahap sederhana yang saya maksudkan. Imam Subki meletakkan tahap memahami teks Fathul Qareeb sebagai standad minima untuk menjadi qadhi.

Setiap kali sebuah institusi pengajain agama ditubuhkan kita akan dengan matalamatnya  malahirkan ulamak yang berkaliber. Dalam hal melahirkan ulamak Islam kita kena menentukan taraf ulamak yang dikehendaki. Didalam bab wasiat  takrif fakeh atau ahli fekah diberikan sebagai "seorang yang mengetahui dari setiap bab fekah akan satu kadar yang boleh dia jadikan panduan pada bakinya (iaitu yang dia tidak tahu)". Maka boleh kita katakan ulamak dalam konteks umum "orang yang mengetahui daripada setiap cabang ilmu wahyu akan satu kadar yang boleh dia jadikan panduan pada bakinya". Tahap ilmiah seperti ini bukanlah tahap ulamak yang muktabar atau unggul tetapi tahap minima. Dengannya dia mampu berperanan didalam masyarakat dengan berkesan dan sangat rendah kemungkinan dia melakukan salah didalam memberi fatwa. Diingatkan lagi bahawa Imam Subki meletakkan standad minima untuk menjadi qadhi mampu memahami Fathul Qareeb.

Sukatan Ilmiah menggunakan teks warisan ini sebenarnya bukan milik pondok di Malaysia atau Nusantara, tetapi ia sebenarnya adalah sebahagian dari sistem pengajian tradisi Islam diseluruh dunia, Asia, Afrika, Timur Tengah, Asia tengah dan saya pernah berasa terkejut bila seorang rakan memberi tahu bahawa teks pondok dipelajari dimasjid dan madrasah di England sekarang ini. Maknanya majoriti umat Islam suka untuk mengambil ilmu dari sumbernya yang asli dan muktabar.

Pengkhususan ilmu. Didalam pengajian Islam sepatutnya seorang itu tidak mengkhusus kepada satu skop ilmu yang kecil sebelum dia mantap tahap sederhana terutama sekali pada subjek usuluddin dan fekah, kerana bila dia lulus didalam pengkhususannya dan mendapat penghormatan masyarakat sebagai ulamak dia akan berdepan dengan persoalan ilmiah yang tidak ada batasan, lalu dia akan mudah melakukan kesalahan fatwa berkenaan masaalah yang diluar pengkhususannya. Sering saya temui seorang yang telah diiktiraf sebagai doktor didalam satu skop ilmu atau menjawat jawatan tinggi seperti pensyarah, kadhi, pendakwah terkenal melakukan kesalahan memberi fatwa yang sepatutnya tidak berlaku seperti pada masaalah najis, haid, wudhuk atau solat, lebih lagi bekenaan usuluddin dan tasawwuf.

Cubaan untuk melahirkan ilmuwan yang seimbang. Didalam Negara kita kemudahan untuk membentuk ilmuwan yang seimbang ini telah tersedia, cuma susunannya tidak harmoni. Jadi kita kena sedikit kreatif untuk melakukannya.

Untuk ketegori ulamak dan guru agama :
1- dia mestilah mantap bahasa arab dan ilmu tradisi Islam. Kita punya banyak madrasah pondok atau kita boleh memajukan institusi yang berasaskan sistem pondok, dan kemudahan melanjutkan pelajaran keuniversiti.
2- dia mestilah hafiz atau banyak menghafal quran. Kita punya pusat tahfiz yang berselerak diseluruh negara.
3- dia mestilah luas pengetahuan sains tabi'enya. Kita mempunyai sukatan pelajaran sains dan matematik kebangsaan dan guru yang berkualiti.

Untuk kategori saintis :
1- dia mestilah saintis. Kita mempunyai banyak universiti awam dan swasta didalam Negara dan kemudahan melanjutkan pelajaran diluar negeri.
2- dia mestilah hafiz atau banyak menghafal quran. Kita punya banyak pusat tahfiz.
3- dia mestilah luas pengetahuan bahawa arab dan ilmu tradisi Islam. Kita mempunyai system pengajian pondok yang boleh diceduk system dan teknik belajarnya.

Pelan belajar perdana tidak mampu melahirkan kualiti-kualiti ini pada satu individu seperti kita telah bincangkan tadi. Pihak swasta pula hanya mengolahan dengan melakukan sedikit ubahsuai, hasilnya tetap sama.

Kita tidak boleh lari secara keseluruhan dari pelan balajar perdana yang sedia berjalan. Walaubegitu kita boleh merancang untuk diri kita atau anak kita dan orang yang rapat dengan kita. Kita mulakan sebagai usaha individu dan jika ianya berjaya insyaallah akan menjadi contoh kepada orang lain. Jadi kita tidak perlu membina satu institusi khas sebaliknya mengunakan kemudahan yang sedia berkhidmat. Mula-mula kita mestilah membebaskan diri dari pelan pelajaran perdana itu, kemudian merancang dengan semangat ilmu yang tulen, tidak memandang kepada sijil dan tidak mementingkan masa yang singkat untuk mengejar pekerjaan.

Langkah pertama menghafal quran. Ini boleh dijayakan dengan menyertai tadika tahfiz atau kelas tahfiz sambilan atau pusat tahfiz pada seawal usia yang boleh seperti sepuluh tahun. Perkara terbaik yang kanak-kanak boleh buat adalah menghafal. Pelajar yang berpotensi boleh menghafal selurruh quran didalam tiga tahun. Umur dua belas atau tiga belas dia telah sedia menjadi hafiz. Hakikatnya tidak semua orang boleh menghfal quran. Jika dia tidak mampu menghafal semua kita hentikan program ini diumur empat belas dan pindahkan keprogram seterusnya. Seperti dia hanya mampu menghafal lima atau lapan atau lima belas juzuk. Potensi hafalannya mungkin meningkat seiring meningkat usianya dan dia boleh meneruskan usaha hafalan dengan sendiri diatas asas yang telah kuat ini. Pelajaran akedemik dan ugama diajarkan dengan ringan pada peringkat ini.

Langkah kedua: mendalami ilmu tradisi Islam dan alatnya. Ini dijayakan dengan menyertai pengajian pondok pada usia tiga belas tahun. Peringkat ini mengambil masa tujuh tahun. Dalam tempoh ini semua subjek yang diajarkan dipondok telah rata dan mantap. Kira-kira tiga puluh teks berbagai subjek telah khatam, termasuk Tafsir Jalalain yang mengambil masa empat tahun. Lebih dari itu dia telah mampu mengajarkan teks seperti Fathul Mui'en dan Syarah Ibnu 'Aqil. Kualiti ilmiah pada tahap ini sangat tinggi. Dia dengan mudah dapat memahami dan mengulas kertas kerja dan buku penyelidikkan ilmiah ulamak semasa yang muktabar seperti Ramadhan Buti,Wahbah zuhaili,Abdul karim Zaidan dan Sai'ed Hawa didalam apa bidang syari'ah pun, seperti bank dan insuran.

Langkah Ketiga : mempelajari subjek SPM aliran sains. Pelajaran untuk SPM boleh dipelajari seiring dengan program mendalami ilmu tadisi Islam, sebagai tuisyen. Selepas tempoh tujuh tahun itu tambahkan setahun ke dua tahun untuk menumpukan kepada subjek peperiksaan SPM. Dalam tempoh ini dia juga boleh memahirkan kemahiran mengajar ilmu-ilmu Islam.

Langkah keempat : pengkhususan pengajian. Pada usia dua puluh dua tahun dia masuk keperingkat pengkhususan pengajian. Samaada menjurus kepada akedemik atau pengajian Islam.
  • Jika dia mengkhusus kepada akedemik pada umur 25 tahun dia diiktiraf sebagai saintis atau ahli undang-undang atau ahli ekonomi dan sebagainya, dan sebagai doktor  pada umur 27 tahun. Dia mungkin lewat mencapai taraf ini tetapi lihat sahaja kepada kualiti yang ada pada dirinya. Didalam tempoh pengajian tinggi ini dia telah boleh berkhidmat kepada rakan-rakan dan masyarakat sebagai guru agama. Secara tak langsung dia sebenarnya telah membariskan dirinya sebagai elit didalam masyarakat Islam sebaris dengan pensyarah universitinya.
  • Jika pengkhususannya kepada bidang pengajian Islam maka keadaannya lebih jelas bagi kita. Dengan kekuatan ilmu yang dia bawa ke universiti  peluang dia cemerlang sangat kuat. Dalam masa yang sama dia boleh mengembangkan bakatnya didalam bidang sains dengan mempalajari secara sambilan ilmu-ilmu seperti komputer, falak atau perubatan alternatif.

Cara yang paling simple adalah dengan menggugurkan program tahfiz dan memadukan sukatan sekolah menengah kebangsaan aliran sains dengan pengajian pondok. Tidak perlu sukatan sekolah mengah ugama kerana bilangan subjek akan bertambah dan menjadi beban. Kemudian terus belajar hingga keumur dua puluh satu. Selepas itu memasuki universiti.

Matematik dan bahasa Ingeris. Matematik dianggap susah oleh kebanyakkan pelajar kerana ia ilmu yang penuh dengan kaedah yang perlu diingat dan digunakan. Matematik adalah bahasa bagi sains, lemah matematik bermakna lemah sains dan bangsa yang lemah pengetahuan sains akan kurang berdaya saing dengan bangsa lain yang tinggi pengetahuan sainsnya.

Bahasa Ingeris adalah bahasa ilmu secara keseluruhannya, kerana mereka adalah pemimpin ilmu diabad ini. Mahir dengan bahasa ini memberikan kelebihan bagi kita untuk menerima berbagai ilmu dan berdaya saing dengan bangsa lain. Tetapi ia bukan satu bahasa yangn susah dipelajari, bahasa Arab sepuluh kali lebih susah darinya.

Pengajian pondok telah melahirkan individu yang mampu memahami bahasa arab dan memahami penulisan genius dunia seperti imam al Ghazali dan Syafi'e, memahami perkara-perkara yang rumit seperti faraid dan falak. Maka saya rasa ada unsur-unsur didalam pengajian ini yang boleh diadaptasi dan diguna pakai didalam pembelajaran kedua subjek ini. Bersama kita memikirkannya.

Matematik dengan konsep pengajian gandingan. Nahu arab adalah ilmu alat yang terkenal dengan kerumitannya, terlalu banyak kaedah yang perlu dihafal dan digunakan, sementara fekah adalah ilmu maksud yang sangat diinginkan pandainya. Pembelajaran kedua subjek ini berjalan bergandingan. Nahu dipelajari untuk mendapat fekah, dan ketika belajar fekah kita memahirkan nahu. Seorang pelajar sanggup bersusah payah dan bertungkus lumus menghafal kaedah-kaedah nahu dan  mempelajari teks-teksnya demi untuk memahami fekah. Kenikmatan mencapai ilmu fekah  membuatkan dia melupakan kesusahan mendapatkan nahu. Hasilnya kedua-dua ilmu itu dimahirkan serentak.

Matematik banyak persamaannya dengan ilmu nahu. Ianya ilmu kaedah, susah difahami dan perlu dikenakan pada masaalah ilmu lain. Dengan membandingkannya dengan ilmu nahu maka kita perlu satu subjek lain yang sangat menarik minat pelajar untuk dijadikan tempat latihan mengunakan kaedah-kaedahnya dan menjadi matlamat mempelajari matematik. Kedua ilmu ini perlu dipelajar seiringan. Seperti logarithm dengan falak dan pecahan dengan faraidh. Dengan cara ini satu ilmu menjadi motivasi kepada ilmu yang satu lagi.

Bahasa Ingeris dan talaqqi. Sepertimana bahasa arab masaalahnya juga adalah kaedah nahu, perbendaharaan kata yang banyak dan memahami binaan ayat. Kaedah tatabahasanya perlu dihafal. Pengajian yang menggunakan teks bahasa Ingeris mesti berjalan sepertimana pengajian talaqqi teks bahasa arab. Bukan ilmunya sahaja yang diajarkan tetapi diajarkan juga aspek-aspek tatabahasanya dan gaya penyampaiannya, sama seperti amalan mengi'rab ketika membaca teks arab. Dengan cara ini masaalah malas tengok kamus juga menjadi ringan.

Yang paling baik pilih satu teks bidang ilmu yang sangat boleh menarik minat pelajar seperti teks perbandingan ugama. Bayangkan satu teks dengan empat ratus muka surat, selepas khatam dipelajari dengan cara talaqqi berapa banyak perkataan yang ditemui, berapa banyak ayat yang dikaji binaannya dan gayanya dan berapa banyak kali ditemui satu-satu perkataan yang sama. Saya rasa lepas khatam teks seperti ini kita dengan mudah dapat membaca akhbar berbahasa Ingeris. Dengan cara ini bahasa dipelajari dan dimahirkan seiringan dengan ilmu-ilmu lain, dan berkembang juga selari dengannya.

Kemelut bahasa. Untuk meningkatkan kemahiran bahasa Ingeris pelajar Malaysia kerajaan melaksanakan program belajar matematik dan sains didalam bahasa Ingeris, teks dan penyampaiannya dengan bahasa Ingeris. Ini mendapat tentangan dari aktivis bahasa Melayu kerana pelan ini membunuh bahasa Melayu. Kaum lain pun membantah. Setahu saya Unesco menggalakkan kuliah perubatan didalam bahasa ibunda supaya ia dapat lebih dihayati.

Kesan negatifnya kualiti matematik dan sains merudum kerana pelajar kurang faham pelajaran kerana kualiti bahasa Ingeris mereka masih rendah. Perlu dibina kualiti bahasa Ingeris baru boleh faham matematik dan sains dengan bahasa Ingeris. Kalau hendak membina kedua-duanya sekali jalan ikut cara pondok, teks bahasa Ingeris penghantar bahasa Melayu.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan