Bacaan Al Quran

Jumaat, 18 September 2009

TERJEMAHAN KELASIK MODEN

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

PEMELIHARAAN KHAZANAH WARISAN
INTELEK

TERJEMAHAN KELASIK MODEN

PENDAHULUAN
Segala puji milik Allah Tuhan sekelian alam, yang memberi kefahaman pada ugamaNya kepada orang yang Dia mahukan. Selawat dan salam keatas nabi junjungan: Muhammad Penghulu sekelian makhluk, dan keatas ahli keluarganya dan para sahabatnya dan pengikutnya hingga ke Hari Akhir.
Setelah menghabiskan beberapa tahun mengikuti pengajian Pondok, saya membuat beberapa kesimpulan tentang beberapa aspek asas pengajian Islam berdasarkan pengalaman saya. Diantaranya, yang pertama : sesuai dengan diri kita berbangsa bukan-Arab kita mesti menyelesaikan dulu masaalah bahasa Arab, terutama sekali pada sudut kemahiran membaca. Kerana dengannya kita dengan mudah menerima pengajaran dan bimbingan oleh guru-guru kita dan mampu menyelongkar khazanah ilmu Islam yang umpama lautan tidak bertepi, seterusnya mampu membina kekuatan ilmiah dengan sendiri diatas asas itu. Keduanya kita mesti menggunakan teks pengajian yang mempunyai tahap bolehpercaya yang tinggi sebagai asas kita membina kekuatan ilmiah didalam sesuatu bidang ilmu. Begitu juga teks-teks rujukan.
Jika luput yang pertama maka tidak ada jalan untuk mempunyai ilmu yang luas, jika luput yang kedua maka ilmu kita kurang boleh dipercayai. Ringkasnya saya dapati pengajian Pondok memenuhi dua keperluan ini. Tidak dinafikan ada kelemahan-kelemahan dari sudut lain, tidak dapat tidak.

Teks-teks popular di Pondok terdiri dari yang berbahasa Melayu dan Arab. Kedua-duanya dengan bahasa yang dikira kelasik, dipanggil juga Kitab Kuning. Tahap bolehpercaya teks-teks ini tidak dipertikaikan oleh majoriti ilmuan Islam kerana kekuatan dan ketinggian ilmu para pengarangnya. Masaalahnya adalah bahasa. Teks kelasik melayu mempunyai bahasa yang boleh dikatakan tidak relavan dengan pembaca semasa, berikutan perkembangan pesat bahasa Melayu setelah melalui beberapa zaman yang panjang. Bahasa Melayu seratus tahun dulu amat jauh bezanya dengan bahasa Melayu yang ada sekarang.


Hakikatnya teks kelasik Melayu samaada karya asli ulamak Melayu atau terjemahan dari teks Arab adalah ditulis dengan teknik dan gaya bahasa Arab yang ketat. Pada hemat saya hanya orang yang sekurang-kurangnya setengah mahir teknik penulisan bahasa Arab sahaja yang mampu membaca teks kelasik Melayu dengan baik. Kerana kurangnya orang yang mempunyai kemahiran begini sekarang ini teks Melayu kelasik lebih dipandang sebagai artifak sejarah daripada bahan ilmiah.
Teks Arab popular di Pondok sesetengahnya berumur hampir seribu tahun, penulisannya sangat terikat dengan kaedah-kaedah nahu dan gaya bahasanya sangat murni bercitarasa Arab. Walaupun bahasa Arab tidak berubah melalui zaman semenjak sebelum al Quran diturunkan, namun ianya masyhur sebagai bahasa yang halus dan rumit dipelajari. Cukup untuk menggambarkan perkara ini bahawa dikatakan: tidak ada satu bahasa didunia dibincangkan kaedah-kaedah tatabahasanya lebih daripada bahasa Arab. Ini adalah masaalah besar bagi pelajar diperingkat permulaan dan sederhana pembinaan ilmu mereka. Universiti Azhar sendiri telah menulis semula teks-teks kelasik Arab dengan gaya bahasa semasa untuk digunakan dikuliahnya dan disekolah-sekolah dibawah tadbirannya, dipanggil kitab maudhui’e.
Bahasa Melayu kelasik yang ujud didalam kitab kuning sebenarnya mempunyai keindahan yang tersendiri sehinggakan kadangkala menonjolkan ciri-ciri puisi. Ianya sangat sesuai untuk penyampaian ilmu-ilmu wahyu terutama sekali ilmu Tasawwuf dan terjemahan al Quran. Selain itu ia mempunyai kemampuan penyampaian yang halus dan tepat, yang membuatkannya sangat sesuai untuk menyampaikan masaalah-masaalah Fekah. Kerana itu ia tidak boleh ditinggalkan sama sekali begitu juga dianggap ketinggalan zaman, sebaliknya perlu kepada pengubahsuaian supaya ia menjadi lebih semasa, tanpa menghilangkan ciri-ciri ini, lantas lebih mudah difahami dan dimanfaatkan oleh anak-anak zaman ini.
Sehubungan dengan ini saya dengan mengharapkan taufik dan ‘inayah Allah taala, telah melakukan dua kerja cubaan. Pertama: suntingan bahasa kitab kuning Melayu. Melalui proses ini bahasanya disesuaikan dengan bahasa semasa tanpa mengubah struktur ayat asal seberapa yang terboleh. Suntingan tidak dilakukan sama sekali pada mesej penyampaiannya. Hasilnya adalah sebuah teks yang mempunyai gaya bahasa kitab kuning yang lebih mudah difahami, yang boleh dipercayai dan dipegangi isi kandungannya. Ia juga boleh dianggap sebagai kerja tranliterasi kitab kelasik Melayu kepada bahasa Melayu yang lebih semasa. Untuk contoh kerja ini sila lihat "Suntingan Sabilal Muhtadin".
Keduanya: Terjemahan Kelasik Moden Arab-Melayu. Teks-teks Arab diterjemahkan kedalam bahasa Melayu dengan konsep terjemahan harfi yang sederhana. Hasilnya adalah teks terjemahan harfi-maknawi yang mempunyai gaya bahasa kelasik yang lebih mudah difahami. Keistimewaan konsep terjemahan ini adalah ia dapat membantu pembaca memahami teks asalnya yang berbahasa Arab, berikutan susunatur perkataannya yang hampir sama, iaitu membantu kita mengenalpasti kedudukan i’rab kalimah-kalimah pada ibarat Arabnya. Untuk contoh kerja ini sila umpamanya "Terjemahan Iqna".
Antara ciri-ciri penulisan konsep ini yang perlu diperhatikan:
• Tanda-tanda penulisan rumi digunakan terutamanya noktah, koma, kurungan dan tanda soal. Walaubagaimanapun fungsinya tidak berjalan seratus peratus kerana perbezaan yang besar didalam gaya bahasa pada kedua-dua bahasa itu. Didalam bahasa Arab adalah perkara yang sah ayat yang lengkap berada ditengah ayat utama. Noktah pada teks terjemahan ini terkadang tidak menunjukkan ayat selepasnya jumlah yang tersendiri. Perkataan selepas noktah dimulakan dengan huruf kecil menunjukkan ia adalah sambungan ayat yang terdahulu (‘ataf). Ringkasnya pembaca perlu sentiasa peka dengan kedudukan i’rab sesuatu perkataan.
• Bentuk mabni lil majhul diterjemahkan sebagai mabni lil ma’lum, dan sebaliknya.
• Dhomir didatangkan sebagai isim zahir, dan sebaliknya.
• Alif-lam makrifah didatangkan sebagai dhomir atau isim isyarat.
• Tidak menterjemahkan istilah-istilah Arab yang biasa digunakan.
Semua ini bertujuan melancarkan penyampaian dengan bahasa Melayu, supaya ia tidak kedengaran pelek berbanding bahasa Melayu semasa.



Daftar Kerja yang telah siap :

1- Terjemahan Ajurumiah.
2- Terjemahan Mukhtasar Jiddan.
3- Terjemahan Tashil Amani.
4- Terjemahan Mutammimah Ajrumiah.
5- Terjemahan ‘Asymawi.
6- Terjemahan Azhari.
7- Terjemahan Qatrunnada.
8- Terjemahan Syuzur Zahab.
9- Syair Seribu Nahu. Terjemahan dan syarah ringkas matan Alfiah.
10- Ibnu ‘Aqil.

11- Terjemahan Madkhal
12- Terjemahan Matan ‘Izzi.
13- Tejemahan Matan Maksud
14- Terjemahan Matan Bina’ wal Asas.
15- Terjemahan Syarah Kailani.

16- Terjemahan Fathul Qareeb. Jilid 1&2.
17- Terjemahan Syarah Tahrir. Jilid 1&2.
18- Terjemahan Fathul Mui’en.
19- Terjemahan Minhaj Thalibin.
20- Terjemahan Iqna’.
21- Suntingan Sabilal Muhtadi
22- Wisyah al-Afrah. Suntingan.
23- Terjemahan Safar Mar'ah,

24- Terjemahan Matan Jauharah.
25- Syarah Matan Jauharah. Adaptasi dari syarah Syeikh Bakri Rejab
26- Terjemahan Tuhfah al Muriid
27- Terjemahan Abdussalam
28- Syarah Sanusi.
29- Hikam ‘Ataillah as-Sakandari (matan).
30- Syarah Hikam. Ibnu ‘Abbad.
31- Syarah Hikam. Abdul Majid Syarnubi.

32- Ta'lim Muta'allim
33- Irsyadul ‘Ibad
34- Halal dan Haram.
35- Hari Kiamat.
36- Mukjizat Rasul.
37- Muhammad didalam Veda dan Purana.

Sila lihat contoh kerja yang disediakan ditepi muka blog ini.

Azman M.D

Tiada ulasan:

Catat Ulasan