Bacaan Al Quran

Rabu, 17 Februari 2010

pengumpulan dhabit

 
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

PEMELIHARAAN KHAZANAH WARISAN
INTELEK

PENGUMPULAN DHABIT TERPECAYA

"Dhabit" didalam dunia pengajian pondok suatu yang sangat berharga. Dhabit adalah catatan pada teks pengajian. Dicatat dengannya sebarang maklumat berharga, daripada yang berkenaan nahu dan saraf, tempat kembali gantinama, makna perkataan, maksud ibarat, huraian dan pendapat tuan guru, yang dikirakan bernilai bagi sesaorang pelajar itu. Maka jika sesuatu teks adalah teks pengajian maka dhabit padanya boleh dikira sebagai syarahnya, ia sangat memudahkan kita membaca teks asal pada tempat-tempat yang sukar difahami. Contoh dhabit sila lihat gambar dibawah.

Dhabit sangat membantu pelajar yang kurang mahir dalam memahami teks pengajian. Dengannya dia dapat membaca dengan kadar yang diluar kemampuannya jika dia membaca tanpa dhabit, dan menambah nilai ilmiah mereka yang dikira mahir. Hinggakan mereka yang bertaraf tok guru mencari dhabit orang yang mereka rasakan boleh membantu mereka atau menambah nilai ilmu mereka.


Dhabit yang dibuat oleh para ulamak yang mahir sepatutnya dikumpulkan dan dijadikan koleksi untuk bantuan pelajar belajar. Lebih-lebih lagi teks yang besar yang mengambil masa lebih tujuh ke lapan tahun menamatkannya, seperti Tafsir Nasafi dan Fathul Wahhab, kerana sekarang ini susah kita dapatkan guru yang mengajarkannya dan pelajar yang sanggup menunggu dalam kadar masa sebegitu. Maka dengan adanya dhabit sekurang-kurangnya kita ada panduan untuk membaca teks itu dengan sendiri.

Hal ini lebih terasa pada teks Melayu kelasik seperti Sabilal Muhtadin, Furu' Masail, Jahar Mauhub dan Bughayyah Thullab. Ini kerana kurang tempat rujukkan bahasa dan kurang guru yang berkemahiran tinggi seperti ulamak dulu. Hal ini sangat maklum bagi pelajar-pelajar pondok. Sebagai contoh perkataan "berbega-bega" maknanya berbual. Jika tidak dapat menerima makna ini dari seorang guru maka kita boleh mendapatnya dari dhabit mereka.

Dhabit yang saya sendiri pernah alami kehebatannya adalah dhabit yang diambil dari syeikh Abdul Qadir Mandiling catatan Tuan guru Haji Zakaria, Alor Janggus. Pastinya banyak lagi dhabit yang berkualiti tinggi oleh tuan-tuan guru yang lain.

Dengan adanya usaha mengumpul dhabit terpecaya ini kita dapat menyelamatkan warisan ilmiah intelek kita yang semakin hari semakin nipis ditelan umur dunia. Banyak kitab-kitab allahyarham tuan-tuan guru yang tersadai didalam almari dimadrasah-madrasah atau rumah-rumah yang disimpan oleh waris yang tidak mengenali nilai sebenar dhabit itu. Ditambah pula tuan guru yang masih hidup. Mereka yang 'arif dengan dunia pengajian pondok sanggup membelanjakan beratus ringgit semata-mata untuk mendapatkan satu salinan kitab yang mempunyai dhabit berkualiti.

Usaha mengumpulkan dhabit ini memerlukan belanja yang besar sebelum ia boleh dikeluarkan semula. Lebih-lebih lagi nilai komersialnya tidak dapat dipastikan setakat mana tingginya. Sesiapa yang berminat untuk membincangkan usaha ini sila hubungi saya. Menyambung kesinambungan warisan intelek.

Nuruzzaman M.D.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan